Lucky Charms Rainbow

Friday, October 5, 2012

Kabinet dapur modular atau kustom?


Salah satu perkara yang anda perlu faham apabila membuat tempahan kabinet dapur adalah, adakah pembuat kabinet dapur anda menawarkan produk berasaskan rekaan modular atau kustom? Di dalam pasaran ada sesetengah pembuat kabinet dapur hanya menawarkan produk dari jenis modular, ada yang boleh menawarkan kedua-duanya dan ada yang hanya membuat rekaan secara kustom sahaja.
Kabinet dapur modular lebih mudah difahami jika anda melihatnya sebagai kabinet pasang-siap di mana setiap komponen yang dipasang mempunyai saiz yang telah ditetapkan secara standard. Kebaikan menggunakan sistem modular kepada pembuat kabinet dapur adalah, mereka boleh menyiapkan komponen-komponen kabinet mereka lebih awal – misalnya badan kabinet – walaupun belum ada tempahan untuknya. Dengan adanya simpanan stok komponen, pembuat kebinet dapur jenis ini dapat membuat penghantaran dan menyiapkan kabinet dapur anda dalam tempoh yang lebih cepat dari pembuat kabinet dapur kustom.
Satu lagi kelebihan sistem modular kepada pembuat adalah, mereka boleh menawarkan produk berasaskan skim harga yang standard – misalnya menyebutharga mengikut kaki persegi atau kaki panjang. Ini kerana setiap komponen kabinet mereka tetap dan tepat bahan serta ukurannya. Oleh itu harganya juga boleh ditetapkan. Walaupun begitu, sebutan harga kabinet dapur modular biasanya dipecahkan kepada beberapa bahagian. Misalnya – harga komponen tidak termasuk kos penghantaran, kos pemasangan dan kos-kos lain seperti penyambungan paip, penambahan pendawaian elektrik dan sebagainya. Sebutan harga komponen biasanya kedengaran “murah” tetapi apabila semua kos yang terlibat diambilkira, harga keseluruhan yang perlu dibayar mungkin tidak ada beza dengan harga yang ditawarkan oleh pembuat kabinet dapur kustom atau boleh jadi lebih mahal.

Bagi anda yang ingin mendapatkan kabinet dapur  yang unik atau lebih kukuh dan dibina mengikut keperluan praktikal mahupun estetika anda sendiri, kabinet dapur berasaskan sistem modular mungkin bukan untuk anda. Oleh itu anda perlukan pembuat kabinet dapur yang membuatnya secara kustom. Pembuat kabinet kustom akan mengambil kira setiap inci ruang yang ada untuk dimanfaatkan dalam rekaan mereka. Ini bermakna setiap komponen dibina dengan ukuran-ukuran yang diselaraskan mengikut keperluan rekaan. Hasilnya kabinet dapur anda akan dapat menonjolkan ciri atau karakternya yang tersendiri selain dari kemungkinan ia lebih praktikal, lebih teguh serta melekapi ruang dengan lebih kemas.
Bagaimanapun, ada juga kekurangan sistem modular kepada pelanggan. Misalnya, oleh kerana setiap komponen mempunyai saiz yang tetap, ia bermakna rekaan atau gaya kabinet dapur anda terpaksa menurut ciri-ciri modular berkenaan. Anda tidak mempunyai banyak pilihan untuk menjadikan kabinet dapur anda unik. Antara contoh pengeluar kabinet dapur modular adalah Ikea. Jika anda membeli kabinet dapur dari Ikea, anda boleh terus membawa komponen-komponen kabinet dapur anda pulang bersama anda. Dengan perkhidmatan pemasangan yang disediakan, anda boleh melihat kabinet dapur anda siap dipasang dalam tempoh yang singkat.
Berbeza dengan pembuat kabinet dapur modular, pembuat kebinet dapur kustom biasanya tidak akan menyebutharga berdasarkan kaki persegi atau kaki panjang. Sebutharga mereka akan mengambilkira semua elemen seperti saiz, gaya rekaan, jenis bahan, aksesori, pengangkutan, kos-kos buruh fabrikasi dan pemasangan dan pelbagai lagi. Pendek kata, harga yang diberikan oleh pembuat kabinet kustom biasanya sudah mengambilkira semua perkara yang diperlukan untuk membuat dan menyiapkan kabinet dapur anda tanpa sebarang kos-kos lain yang disebut berasingan.

1 comment:

  1. hi..blh i tanya..
    modular ni guna melamine abs kan..
    so mana lebih tahan?
    melamine abs with quartz stone or concrete with quartz stone?

    ReplyDelete